Bahan ilmiah patut diterbitkan


Bahan ilmiah patut diterbitkan

SARANAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tesis sarjana dan doktor falsafah (PhD) diterbitkan dalam bentuk buku wajar diberi perhatian oleh universiti-universiti tempatan.

Membukukan bahan-bahan keilmuan itu mampu memperkaya dan merangsang suasana akademik di negara ini dengan percambahan ilmu, penyaluran idea dan perkongsian maklumat yang bermakna. Tambahan pula, usaha itu boleh menyebarkan khazanah ilmu dari menara gading bagi dimanfaatkan oleh negara.

Penulis berpendapat tesis yang bermutu wajar diterbitkan untuk rujukan umum. Jika tidak sesebuah tesis yang dihasilkan atas usaha bertahun-tahun lamanya hanya dibaca oleh empat hingga enam individu iaitu penyelia dan pemeriksa yang dilantik oleh universiti. Pihak lain yang mungkin merujuk ialah mereka yang membuat penyelidikan dalam bidang itu.

Persoalannya, wajarkah tesis yang boleh menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara hanya tersimpan rapi di rumah atau di pejabat pengkaji atau di rak perpustakaan universiti?

Dengan menerbitkannya dalam bentuk buku, seperti yang dilakukan oleh Yayasan Nurul Yaqeen (YNY) dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Sains Malaysia (USM), tentunya menambah koleksi buku ilmiah tempatan untuk manfaat masyarakat. Malah boleh dirujuk oleh masyarakat antarabangsa yang ingin mengetahui isu yang dikaji tentang Malaysia.

Atas sokongan Muhyiddin yang juga Pengerusi YNY, buat julung kali baru-baru ini YNY dan USM bekerjasama mengadakan Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin 2009 peringkat nasional yang diberi kepada penyelidik peringkat sarjana dan PhD dalam ilmu berkaitan Islam.

Dr. Fadzila Azni Ahmad dari USM dinobatkan sebagai pemenang sulung peringkat PhD dan menerima anugerah berupa pingat emas bernilai RM10,000 dan wang tunai RM5,000 dari Muhyiddin. Manakala tidak ada pemenang kategori peringkat sarjana.

Penganjur yakin anugerah itu merupakan usaha yang sangat penting kepada perkembangan ilmu kerana dengan cara ini dapat menyumbang kepada peningkatan pengetahuan umat manusia.

Dari satu segi, usaha YNY dan USM untuk membukukan tesis Fadzila adalah langkah positif kerana penyelidikan beliau akan dapat dimanfaat oleh pelbagai pihak termasuk institusi yang berteraskan Islam.

Ini kerana tesis beliau yang bertajuk Kaedah pengurusan institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia boleh digunakan sebagai model kerana hasil kajiannya sarat dengan pelbagai pandangan dan rujukan yang dibincangkan secara ilmiah dan terperinci. Tambahan pula beliau mengambil masa enam tahun untuk menghasilkannya.

Penulis berpendapat tesis calon lain juga wajar dipertimbangkan oleh penganjur untuk diterbitkan memandangkan laporan jawatankuasa penilaian menunjukkan tesis mereka diberi penilaian yang tinggi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penilaian, Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh dari USM, terdapat 18 kriteria bagaimana sesebuah tesis sarjana dan PhD dinilai dan diangkat sebagai yang terbaik. Kriteria yang diambil kira adalah tajuk tesis dan kandungan, kepadatan abstrak, kejelasan penyampaian, susunan tesis, penggunaan bahasa dan tata bahasa, ejaan dan peristilahan.

Kriteria lain adalah sudut tinjauan/sorotan bacaan, objektif kajian, metodologi, data yang dikutip dan dianalisis, interpretasi data dan kesimpulan, hubungan perbincangan dengan penemuan kajian, perbincangan, bahan rujukan, kekemaskinian bahan rujukan serta keaslian kajian.

Oleh itu, calon-calon sarjana dan Phd yang berminat untuk menyertai anugerah itu pada tahun hadapan harus menitikberatkan kriteria yang disenaraikan jika ingin dipilih sebagai tesis terbaik dan diterbitkan.

Namun, jika tidak berjaya menjadi yang terbaik, mungkin tesis yang dihasilkan itu tinggi mutunya dan boleh diterbitkan sebagai buku untuk dibaca dan dirujuk oleh pelbagai pihak.

Tambahan pula di negara kita tidak banyak buku ilmiah dalam bahasa Melayu yang terhasil berdasarkan kajian yang boleh dirujuk oleh pencinta ilmu. Sejak sekian lama, sebahagian besar bahan dan buku ilmiah yang dirujuk di universiti masih dalam bahasa Inggeris yang majoritinya ditulis oleh pengkaji dan sarjana Barat.

Muhyiddin berharap anugerah seumpama itu dapat menyemarakkan semangat dan merangsang calon-calon pasca ijazah dalam dan luar negara untuk menghasilkan kajian dan tesis dalam bidang keilmuan Islam yang bermutu tinggi seterusnya dibukukan.

Dalam perkaitan ini, universiti tempatan wajar memberi sokongan kepada penerbit universiti masing-masing untuk menarik minat lebih ramai siswazah peringkat sarjana dan PhD untuk menerbitkan tesis. Selain royalti, penulisnya mungkin diberi ganjaran yang setimpal sebagai satu pengiktirafan atas usaha ilmiahnya.

Malah tesis pelajar Malaysia di luar negara juga boleh diterbitkan jika didapati tinggi mutunya daripada dibiarkan menjadi rujukan dan dieksploitasi oleh universiti berkenaan.

Jika kewangan menjadi kekangan, universiti tempatan mungkin boleh bekerjasama dengan organisasi korporat untuk mewujudkan anugerah dan menerbitkan tesis. Langkah ini dilihat sebagai memenuhi konsep Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) seperti yang diuar-uarkan oleh kalangan sektor korporat.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman Penerbit Universiti Malaya (UM), bukanlah mudah untuk menarik minat siswazah menerbitkan tesis ke buku kerana memerlukan kerja-kerja pengubahsuaian bagi menepati konsep dan keperluan penerbitan sebuah buku.

Daripada ratusan lulusan sarjana dan PhD di UM, penerbitnya hanya berjaya merealisasikan beberapa buah tesis sahaja ke buku. Pada tahun 2008 misalnya, daripada 15 buku hanya enam diterbitkan dari tesis. Pada tahun ini, 22 buku diterbitkan dan hanya tiga daripada tesis siswazah.

Penerbit UM turut mengadakan bengkel penulisan tesis ke buku sebagai usaha menarik minat golongan ilmuwan membukukan tesis mereka. Namun, kurang berhasil.

Dari satu segi, usaha membukukan tesis dalam ilmu berkaitan Islam mungkin dapat membantu meningkatkan kegemilangan dan keunggulan Islam seterusnya bersaing dengan Barat.

Hal ini diakui Muhyiddin bahawa pada masa ini kegemilangan dan keunggulan Islam semakin jauh ditinggalkan oleh Barat dalam bidang seperti sains, teknologi, ekonomi dan pendidikan. Fenomena yang berlaku menyebabkan kita bukan sahaja ketinggalan malah memperlihatkan seolah-olah negara-negara Islam semakin mundur dalam bidang pendidikan.

Oleh itu, seperti saranan Timbalan Perdana Menteri, anugerah tesis terbaik itu serta membukukannya merupakan langkah awal yang digagaskan untuk mengembalikan keunggulan tamadun keilmuan Islam di Malaysia khasnya dan di dunia Islam umumnya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya

Utusan Online



Leave your comment