Facebook pupuk belia berpolitik


KUALA LUMPUR 19 Julai – Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan sepenuhnya laman web sosial Facebook bagi menarik golongan belia untuk berpolitik, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, langkah itu wajar kerana Facebook merupakan laman yang paling digemari golongan tersebut pada masa ini.

Katanya, berdasarkan pengalaman peribadinya, beliau ‘bersahabat’ dengan lebih 2,800 belia menerusi Facebook yang mana mereka masih berminat berbicara tentang politik.

‘‘Daripada apa yang saya lihat dalam Facebook, adalah tidak benar kalau kita katakan orang muda tidak berminat dengan politik. Mereka minat politik, tetapi dengan cara yang baru dan berbeza.

‘‘Jadi, kalau hendak tingkatkan penyertaan orang muda dalam politik, sistem politik yang sedia ada perlulah dipinda sedikit untuk memberi ruang kepada golongan muda,’’ katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita pada majlis meraikan sahabat-sahabat Facebook beliau dan genap 100 hari menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi di Saloma Bistro, Jalan Ampang di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, sebagai contoh antara pandangan yang diutarakan kepada beliau melalui Facebook ialah ramai anak muda yang menyokong BN, tetapi sukar hendak jadi ahli mana-mana parti komponen dalam BN.

‘‘Jadi, mereka minta cadangkan tubuh Kelab BN supaya mereka boleh sokong BN dan jadi ahli BN tanpa jadi ahli mana-mana badan gabungan.

‘‘Ini kerana ramai golongan muda pada hari ini adalah bukan Melayu, Cina mahupun India hasil daripada perkahwinan campur. Oleh itu, agak sukar bagi mereka untuk menyertai UMNO, MCA atau MIC,’’ katanya sambil menambah golongan itu tetap menyokong BN.

Saifuddin menambah, terdapat juga di kalangan orang muda yang tidak ada ketaatan kepada mana-mana organisasi atau ideologi politik.

‘‘Golongan ini berfikir berdasarkan pandangan peribadi. Perkara yang dirasai betul, mereka akan katakan betul dan yang salah mereka akan kata salah.

‘‘Golongan muda pada hari ini juga lebih tertarik jika suara mereka didengar tidak setakat musim pilihan raya sahaja, tetapi sepanjang masa,’’ katanya.

Tambah beliau, bagi mereka proses demokrasi tidak sepatutnya dipamerkan pada setiap lima tahun sekali sahaja dan pandangan itu turut diluahkan dalam Facebook.

Beliau turut berhasrat untuk menambah bilangan sahabat dalam Facebook kepada 5,000 orang menjelang penghujung tahun ini.

‘‘Saya seronok menggunakan Facebook, namun agak mustahil untuk saya menggunakan laman web itu setiap hari. Nanti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyangka saya tidak ada kerja pula,’’ katanya secara berseloroh.

Pada majlis yang sama, Saifuddin turut melancarkan buku elektronik beliau yang pertama bertajuk Kalau Saya Mahasiswa yang boleh dibaca secara percuma di www.saifuddinabdullah.com.my

Menurutnya, dalam buku berkenaan, beliau menceritakan pengalaman dan pengamatannya dalam gerakan mahasiswa dulu dan sekarang selain menggaris apa yang akan dilakukan untuk memperkasa gerakan mahasiswa. - UTUSAN ONLINE



Leave your comment