China tutup akses Internet



BEIJING 3 Jun - Pihak berkuasa China menutup blog, forum Internet dan laman media sosial seperti Twitter dalam usaha untuk menyekat perbincangan politik di ruang siber menjelang hari ulang tahun ke-20 protes prodemokrasi di Dataran Tiananmen, esok.

Namun, penutupan laman-laman Internet menandakan babak baru dalam percubaan pihak berkuasa untuk menutup mulut penentang kerajaan komunis itu.

Langkah itu juga menunjukkan semakin berpengaruhnya teknologi sedemikian di kalangan golongan muda China dalam sebuah masyarakat autoritarian yang mengawal penyaluran maklumat dengan begitu ketat.

China mempunyai pengguna Internet paling ramai di dunia dan komuniti Internet terbukti semakin berpengaruh dalam menyebarkan berita mengenai sesuatu kejadian, daripada protes pelajar hinggalah kepada jadual rombongan membeli-belah.

Pemantau Internet kerajaan telah menutup papan mesej di lebih 6,000 laman web yang ada kaitan dengan kolej dan universiti, dipercayai untuk menghalang perbincangan mengenai peristiwa 1989 itu, menurut Pusat Penerangan bagi Hak Asasi Manusia dan Demokrasi di Hong Kong.

"Kami difahamkan kerajaan China menyekat akses ke laman Flickr dan laman antarabangsa lain, tetapi kerajaan tidak memberikan sebarang penjelasan," kata Jason Khoury, jurucakap bagi Yahoo yang memiliki Flickr.

Disaring dari sumber



Leave your comment