Tiada kenaikan gaji pensyarah IPTA - Khaled


PELABUHAN KLANG 25 Mei - Kementerian Pengajian Tinggi tidak bercadang menaikkan gaji para pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah bayaran gaji kepada ribuan tenaga pengajar IPTA mengikut gred masing-masing sudah mencukupi dan munasabah.

"Setakat hari ini, boleh dikatakan gaji-gaji pensyarah ini masih munasabah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Maritim Korea (KMU) dan Maritime Training Education Sdn. Bhd. (MTE) di atas Kapal Latihan KMU, Hanbada di Terminal Star Cruise di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan terkini kajian semula kementerian itu berhubung kenaikan gaji pensyarah yang dijalankan sebelum ini bagi menarik penyertaan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang tersebut.

Bagaimanapun Mohamed Khaled menjelaskan, pihaknya akan tetap membela nasib golongan pensyarah dengan menyediakan pelbagai insentif kepada mereka yang berjaya menghasilkan pelbagai kajian yang menarik.

''Apa yang kementerian lakukan kini adalah menyediakan insentif supaya kajian-kajian yang ingin dihasilkan universiti itu akan tercapai dan mereka yang benar-benar produktif akan mendapat penghargaan.

"Kita sebenarnya hendak pensyarah menulis buku, buat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan penulisan jurnal seiring dengan hasrat kerajaan yang mahukan ekonomi negara berasaskan inovasi dan kreativiti," jelasnya.

Beliau memberitahu, kementerian sedang mengkaji bentuk insentif yang sesuai ditawarkan kepada mereka.



Leave your comment