5 Rahsia Powerpoint Berkesan dalam Pedagogi


Majalah Pendidik, April 2009, Hal 53-55.

Ditulis oleh SYAHRUL NIZAM JUNAINI
DUNIA pendidikan hari ini semakin kompetetif. Bagi pendidik, kelainan yang ditonjolkan ketika mengajar pasti mampu menarik perhatian pelajar. Bagi saya yang mempunyai latar belakang dalam bidang reka bentuk multimedia, perkara ini dilihat sebagai sangat signifikan.
Maka, setiap guru harus serius memikirkan perkara ini. Guru harus mencari teknik dan kaedah terbaik bagi menghasilkan slaid yang bukan sekadar persembahan biasa. Saya yakin anda memang menguasai bidang subjek masing-masing.

Dengan pengalaman mengajar, anda juga sudah hafal setiap butiran bagi apa yang hendak diajar kepada murid. Namun, kelemahan menguasai teknik penyediaan dan penyampaian slaid boleh menjejaskan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Lima rahsia untuk memantapkan prestasi guru di bilik darjah akan saya kongsikan. Perkara ini sangat mustahak bagi memasikan proses P&P lebih ceria dan berkesan.
Rahsia 1: Tentukan kesesuaian fon

Istilah fon melibatkan rupa bentuk set aksara. Fon adalah kombinasi muka taip (typeface) dan sifat-sifatnya seperti seperti saiz dan jarak aksara. Di dalam proses P&P, jenis dan rupa bentuk fon yang anda pilih dapat membantu menambah ‘kuasa’ ataupun ‘merosakkan’ penyampaian anda. Ini kerana setiap fon mempunyai kesan dan personaliti tersendiri.

Sebagai panduan mudah, pada keseluruhan slaid gunakan fon piawai dari segi jenis dan gaya. Saya sendiri hanya menggunakan maksimum dua jenis fon. Satu fon untuk tajuk (biasanya saya memilih Georgia atau Century Schoolbook) dan satu lagi untuk teks (Calibri atau Tahoma).
Secara asasnya fon jenis Sans Serif (tiada tanda tajam pada hujung aksara) adalah lebih sesuai untuk dibaca pada skrin komputer atau layar projektor.

Contoh lain fon daripada kategori Sans Serif yang sering digunakan adalah seperti Arial dan Verdana. Gunakan kesan tebal (bold) pada tajuk slaid. Juga pada frasa kata kunci bagi setiap ayat.
Paling mustahak, pastikan saiz fon yang terkecil pada slaid adalah tidak kurang dari 20. Perkara ini penting bagi memastikan pelajar yang duduk di bahagian paling belakang kelas tidak mengadu sakit mata!

Rahsia 2: Fahami fungsi elemen grafik

Menurut kajian, proses P&P yang dibantu oleh elemen visual didapati meningkatkan proses pembelajaran sehingga empat kali ganda berbanding pengajaran secara lisan semata-mata. Komunikasi secara visual adalah komponen utama dalam mereka bentuk antara muka slaid anda.
Apa sahaja elemen grafik yang anda lukis pada slaid harus memberi makna kepada pelajar. Penggunaan elemen visual sangat penting bagi meningkatkan kefahaman pelajar terhadap kandungan subjek. Namun ia juga boleh mengelirukan! Apa sahaja elemen visual yang hendak dimasukkan perlu difikirkan kesesuaiannya terlebih dahulu.
Oleh itu, teks, grafik, garisan dan sebagainya perlu digunakan dengan berkesan. Jika anda tidak berhati-hati, elemen visual ini mungkin tidak dapat difahami pelajar. Oleh itu, pastikan simbol visual tersebut tidak mempunyai konflik daripada segi pengertiannya dengan pemahaman umum pelajar. Untuk itu, ringkaskan carta, rajah atau jadual bagi mengurangkan risiko pelajar anda terkeliru.
Di samping itu, koordinasi dan keseragaman warna dan elemen reka bentuk harus sinonim dengan subjek atau bab yang anda ajar. Templat persembahan berfungsi mengekalkan keseragaman slaid daripada segi skema warna, bingkai teks dan sebagainya. Teknik paling mudah adalah dengan menggunakan fungsi Auto Content Wizard pada PowerPoint.
Paling penting, setiap slaid PowerPoint mempunya ruang yang terhad. Ia bukan tempat anda memuntahkan fakta. Jangan masukkan keseluruhan maklumat hanya pada satu slaid walaupun kesemuanya adalah penting. Pecahkan nota pembelajaran anda di dalam slaid yang berasingan.
Juga elakkan daripada menyesakkan slaid anda dengan teks panjang berjela-jela. Pecahkan satu perenggan kepada beberapa perenggan kecil atau dalam bentuk ayat penting sahaja.
Rahsia 3: Slaid ceria pelajar gembira

Warna latar belakang slaid juga boleh menceriakan pelajar. Namun aspek paling penting ialah daripada segi kejelasan paparan. Pastikan warna teks cukup kontra berbanding warna latar belakang. Sebagai contoh latar belakang dengan warna gelap perlu dipadankan dengan teks cerah dan sebaliknya.
Penggunaan gambar atau grafik adalah kunci utama saya bagi menarik perhatian pelajar. Anda juga boleh memilih untuk menggunakan gambar sebagai latar belakang slaid. Namun saya cadangkan agar anda sunting terlebih dahulu gambar tersebut dengan perisian seperti Photoshop.
Di sini saya ingin kongsikan satu lagi rahsia. Jika gambar berwarna cerah, letakkan satu kotak berwarna kelabu dengan saiz menyamai kotak teks. Kemudian buat pilihan separa telus atau semitransparent pada tetingkap menu. Ia berfungsi memberi kontras pada teks yang akan anda tulis nanti.Bagi setiap bab yang anda ajar, pilih satu tema khas yang berkaitan. Terjemahkan tema ini melalui keseragaman pada imej latar belakang dan komponen grafik lain seperti butang dan warna. Tema ini juga perlu konsisten pada kesemua slaid.

Rahsia 4: Kuasai teknik mengurus bilik darjah

Sebelum mula mengajar, ada eloknya anda salin terlebih dahulu kesemua fail yang terlibat ke atas desktop. Jika ada fail pautan lain seperti carta Microsoft Excel atau fail video hendak digunakan, pastikan ia turut disalin.
Anda tentu tidak mahu sesi P&P yang rancak berlangsung diganggu tayangan screen saver yang menutup paparan teks slaid. Oleh itu, pastikan fungsinya dimatikan terlebih dahulu.
Di samping itu, sebagai guru anda perlu berfikir berterusan bagaimana memastikan fakta yang anda sampaikan dapat difahami pelajar. Justeru gunakan contoh, analogi dan perbandingan bagi menunjuk, menerang dan menghurai fakta. Tidak cukup dengan rajah pada slaid, objek yang sebenar serta alat bantu lain boleh turut digunakan.
Anda harus ingat bahawa respon pelajar sangat penting penting semasa anda sedang mengajar. Bayangkan apabila beberapa pelajar mula berbisik-bisik sesama mereka semasa anda berdiri di hadapan bilik darjah. Mereka mengumpamakan anda sebagai tunggul kayu. Akhirnya seluruh bilik darjah bertukar seumpama pasar borong.
Maka anda harus menguasai teknik mengurus bilik darjah. Gunakan peranti menarik perhatian dengan mamaparkan gambar, animasi atau video pada slaid anda. Juga jangan lupa untuk mengurus sesi pengajaran anda dari segi peruntukan masa bagi setiap slaid.

Rahsia 5: Pelajari seni pidato

Katakan sekarang slaid PowerPoint anda sudah siap direka bentuk dengan menarik dan ‘power’. Namun awas! ada satu lagi risiko. Pelajar anda mungkin terus khayal kerana mata mereka terpaku pada slaid. Masalahnya mereka mungkin terus ‘hanyut’ tanpa memasang telinga pada apa yang anda sampaikan.
Semasa bercakap, paling penting suara anda harus cukup nyaring—namun jangan menjerit. Intonasi dan rentak bertutur harus dipelbagai. Jangan jadikan ia cuma satu nada (monotonous). Penyelesaiannya ialah saya sarankan agar anda mempelajari seni berpidato. Jika berpeluang, ikuti kelas asas lakonan.
Selain itu mutu suara anda juga harus diambil kira. Bagi setiap sesi kuliah yang berlangsung sehingga dua jam setiap sesi, saya sendiri akan membawa bekalan sebotol kecil air mineral.

Gunakan juga kaedah Think, Breathe, and Speak (TBS). Fikir dengan pantas apa yang hendak anda cakapkan. Kemudian tarik nafas. Selepas itu lafazkan dengan jelas perkataan demi perkataan.
Belakang parang diasah lagikan tajam. Begitu juga dengan usaha anda menguasai kemahiran membuat menggunakan perisian PowerPoint di dalam bilik darjah. Belajar dan teruslah belajar. Suatu hari nanti, para pelajar anda akan terpukau menonton slaid yang anda hasilkan. Semoga berjaya!


Penulis pensyarah kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Beliau pengarang buku Persembahan Hebat dengan PowerPoint terbitan PTS Professional. Hubungi beliau syahruln@fit.unimas.my.

5 Responses


  1. Anonymous on August 11, 2009 at 3:41 PM

    di pedalaman tiada alat ni

  2. syahrulnizam on August 11, 2009 at 9:53 PM

    Anonymous,

    Terima kasih atas komen. Semoga pihak Kementerian Pelajaran prihatin dengan keadaan pelajar di pedalaman.

  3. syahrulnizam on August 11, 2009 at 9:53 PM

    Anonymous,

    Terima kasih atas komen. Semoga pihak Kementerian Pelajaran prihatin dengan keadaan pelajar di pedalaman.

  4. Anonymous on June 7, 2010 at 12:28 PM

    bagaimana nak mengajar kelas paling hujung dengan berkesan terutama subjek sains

  5. syahrulnizam on June 7, 2010 at 9:21 PM

    Saya fikir rahsianya tidak lain dan tidak bukan ialah dengan melebihkan aktiviti/permainan di pihak pelajar, bukan melebihkan aktiviti (bersyarah) di pihak guru.


Leave your comment