Menyemarak industri buku negara













Pengunjung yang seumpama sardin di booth PTS di Pesta Buku Antarabangsa KL 2009.

Perlukah kempen membaca?

(Disalin secara verbatim dari blog UniversitiPTS.com)

Tidak semua orang percaya aktiviti membaca perlu dikempen-kempenkan.

Antara orang yang berpendapat kempen membaca tidak diperlukan adalah Tn. Jaafar Rahim dan Pn. Nisah Haron. Mereka berdua berpendapat tabiat membaca tidak perlu dikempeni. Pendapat mereka berdua itu ada unsur kebenarannya.

UNIKA berpendapat, yang lebih penting daripada menganjurkan kempen membaca adalah menerbitkan buku-buku yang digemari oleh pembaca. Kalau buku-bukunya ada, insyaAllah buku-buku itu akan dibaca.

Sebagai contoh, kerajaan kita tidak pernah mengadakan kempen menggalakkan orang ramai supaya gemar membaca majalah hiburan, ataupun membaca akhbar politik ataupun novel cinta, tetapi jualan dan bacaan ketiga-tiga genre itu amat baik sekali. Puncanya adalah disebabkan bahan-bahan itu diterbitkan dan diedarkan dengan meluas.

Jika kita mahu masyarakat membaca buku-buku ilmu, yang penting adalah menerbitkan buku-buku ilmu itu dan mengedarkan buku-buku itu supaya aksesibel (accessible) kepada barang siapa yang mahu membacanya.

Ibaratnya, jika kita mahu semua rakyat Malaysia makan epal sebiji sehari, kempen makan epal akan menjadi sia-sia jika epal-epal itu tidak ada, ataupun ada tetapi tidak aksesibel kepada semua rakyat Malaysia yang mahu memakannya.

Pada masa ini setiap tahun rakyat Malaysia dikempeni supaya banyak membaca buku, tetapi buku-buku yang mahu dibaca itu tidak ada, ataupun jikalau buku-buku itu ada, ia tidak aksesibel kepada mereka yang mahu membacanya.

Perpustakaan desa diisi dengan buku-buku yang penduduk kampung tidak mahu membacanya. Kemudian kita persalahkan mereka disebabkan mereka tidak mahu pergi ke perpustakaan desa bagi meminjam buku-buku itu.

Yang paling prioriti sekarang adalah membantu para penerbit menerbitkan banyak buku-buku ilmu yang bagus-bagus dan yang suka dibaca oleh orang ramai. Menerbitkan buku-buku seperti itu adalah kerja yang memerlukan kepakaran tinggi dan kos yang tinggi.

Pada masa ini kerajaan menyediakan dana RM50 juta setahun bagi dipinjamkan kepada penerbit filem. Senator Tan Sri Jins Shamsuddin sedang mendesak supaya dana itu dinaikkan kepada RM100 juta setahun.

Di satu pihak lain, RM1.00 pun tidak ada dana untuk dipinjamkan kepada penerbit buku.

Syahrulnizam.com: Wahai mereka yang menggelar dirinya pakar bidang, mari sederap menyemarak industri buku negara!



Leave your comment