Internet percuma tarik generasi muda ke masjid


Bilik komputer disedia untuk kemudahan penduduk

ALOR SETAR: Orang ramai terutama jemaah masjid di daerah ini berpeluang menggunakan perkhidmatan internet jalur lebar (wi-fi) apabila Masjid Aman, di sini, menyediakan perkhidmatan berkenaan khusus untuk penduduk setempat sejak Januari lalu.

Imamnya, Abdul Jalal Abdul Latiff, 77 berkata perkhidmatan yang disediakan adalah untuk memberi kemudahan kepada ahli jemaah dan orang ramai yang ingin melayari internet untuk tujuan ilmiah di kawasan masjid berkenaan.

Beliau berkata, penyediaan perkhidmatan itu juga adalah selaras dengan perkembangan bidang berkenaan yang kini merentasi dunia tanpa sempadan selain dijadikan landasan untuk menarik lebih ramai jemaah muda mengunjungi rumah ibadah terbabit.

Katanya, pihaknya turut menyediakan sebuah bilik komputer yang dilengkapi dengan tiga buah komputer untuk memberi kemudahan kepada penduduk sekitar terutama kegunaan anak khariah masjid itu.

"Tujuan utama kita menyediakan kemudahan ini adalah untuk menarik golongan remaja terutama pelajar untuk mendekati masjid sambil menggunakan kemudahan komputer dan internet di sini.

"Biarlah mereka menggunakan kemudahan di sini secara percuma asalkan usaha untuk mendekati golongan sasaran tercapai. Selepas ini barulah kita akan aturkan pengisian program untuk mereka," katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Maulidul Rasul di masjid itu, semalam.

Abdul Jalal berkata idea untuk menyediakan perkhidmatan timbul hasil perbincangan dengan pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid itu yang ingin melihat kehadiran golongan remaja di masjid berkenaan.

Beliau berkata, orang ramai termasuk penduduk sekitar boleh menggunakan perkhidmatan itu secara percuma pada setiap hari sambil dipantau oleh AJK masjid berkenaan.

Katanya, kewujudan kemudahan itu juga boleh mengelak golongan remaja daripada menghabiskan masa di pusat internet yang semakin banyak di sekitar kawasan terbabit.

"Sehingga kini sambutan yang diterima menggalakkan dan kita berharap lebih ramai remaja terutama pelajar menggunakan kemudahan komputer di masjid ini selain bercadang untuk menambah bilangan komputer di bilik berkenaan.

"Orang ramai termasuk badan-badan korporat dan syarikat swasta yang berminat boleh turut serta untuk menyumbang komputer di masjid ini," katanya.

Sebelum itu, Abdul Jalal menerima anugerah Tokoh Imam Negeri Kedah sempena sambutan Maulidul Rasul peringkat negeri di Kolej Universiti Insaniah, di sini, semalam.

Beliau berkata, anugerah itu akan menjadi pemangkin kepadanya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat terutama dalam merencanakan pelbagai program di masjid berkenaan.

Berita Harian,11 Mac 2009.

One Response


  1. zazu on July 21, 2009 at 3:36 PM

    mmg bgus ada kmudahan internet percuma di masjid,sbb boleh tarik generasi muda dtg ke masjid.tapi, cuma 1 je yg patut kt fikirkan...niat diorang. ibarat ms bulan puasa,org dtg ke masjid sebab mahukan makanan percuma,bukan smbhyg tarawikh.


Leave your comment