Internet mudah alih semakin penting


Utusan Online, 10/02/2009

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Internet mudah alih yang kini menyaksikan sejumlah 500,000 pengguna di Malaysia, bakal menjadi teknologi yang mesti digunakan selepas telefon mudah alih, menurut Laporan Mobile Insights oleh firma penyelidikan pasaran antarabangsa, The Nielsen.

Pengarah Penyelidik Pelanggannya, Vinod Paul berkata, jumlah pengguna Internet mudah alih dijangka meningkat ekoran permintaan setara di kalangan gender di negara ini.

''Meskipun kaum lelaki amat berminat dalam teknologi telefon bimbit tetapi bagi teknologi Internet mudah alih ia mendapat permintaan yang sama di kalangan pengguna lelaki dan wanita,'' katanya dalam kenyataan di sini.

The Nielsen berkata, hasil kaji selidik yang dilakukan terhadap 3,000 pelanggan syarikat telekomunikasi turut mengukur landskap bagi prestasi jenama, laporan penguasaan pasaran, tabiat membeli, laporan rujukan dan penggunaan termasuk kepuasan dan kesetiaan terhadap syarikat pengendali dan peranti telefon mudah alih di kalangan rakyat Malaysia, ekspatriat dan pekerja imigran.

Paul berkata, hasil kaji selidik itu mendapati, penguasaan Indeks Ekuiti Jenama Maxis masih kukuh, membayangkan pasarannya yang dominan sementara Celcom pula masih menjadi syarikat pengendali yang dipilih oleh kebanyakan pengguna sebagai pilihan kedua.
Digi pula adalah rangkaian perkhidmatan pilihan ketiga pengguna, ujar beliau.

Paul berkata, kaji selidik itu turut mengambil kira jenama pengguna telefon bimbit yang mana Samsung didapati lebih condong kepada pengguna 35 tahun ke atas dan tumpuannya kepada masyarakat Cina manakala Nokia pula masih menjadi pilihan ramai terutama di kalangan pengguna prabayar.

Sementara, jenama Motorola untuk golongan pengguna di peringkat percubaan dan Sony Ericsson bagi golongan muda dan pengguna pasca bayar yang berbelanja tinggi.

One Response


  1. SyahiranMuhd on February 14, 2009 at 1:15 PM

    Jemput ke KBloG

    http://www.kuisbloggergroup.blogspot.com


Leave your comment