Laporan Khas: Hebatnya Pengaruh SMS


Dewan Masyarakat, Mei 2008, m.s. 40-41.


Tidak pernah terlintas di fikiran kita selama ini bahawa perubahan zaman akan membawa satu gelombang yang begitu berkuasa. Tempias gelombang digital ini dapat dirasai kesannya pada gaya kita bermasyarakat mahupun bersosial. Evolusi teknologi mudah alih melalui sistem pesanan ringkas (SMS) adalah satu bentuk media digital baru. Ia dilihat sebagai mempunyai kuasa capaian yang ampuh dalam sistem sosial dan politik.

Hal ini telah sedikit sebanyak dapat dilihat kesannya pada Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU-12) yang lalu. Kehangatan teknologi SMS sebagai salah satu alat dalam kempen pilihanraya telah berjaya mempengaruhi pemikiran dan undi rakyat.

Trend semasa juga menunjukkan kecenderungan rakyat yang sudah serasi dengan media mudah alih ini. Namun kuasanya menjadi lebih terserlah selepas keputusan PRU-12 diumumkan.

Senario sebelum dan semasa tempoh berkempen menunjukkan bahawa parti pembangkang nyata kecewa. Mereka tidak mendapat layanan sama rata di media arus perdana seperti televisyen dan akbar nasional. Namun mereka tidak mudah melatah. Sebagai jalan alternatif, teknologi SMS dipilih untuk menagih sokongan rakyat. Ia merupakan alternatif yang dilihat lebih ampuh pengaruhnya daripada segi kadar capaian.

Justeru mereka menggiatkan usaha berkempen menggunakan gelombang radio, di alam maya menerusi SMS. Sehubungan dengan hal itu, Dr. Sapora Sipon dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berpendapat bahawa media seumpama ini telah dimanfaati sepenuhnya oleh tim (parti) lawan Barisan Nasional.

Jika diimbas kembali, kempen ala tradisional biasanya adalah berbentuk ceramah-ceramah. Ia biasanya diadakan di kawasan lapang atau tepi jalan selain kunjungan calon dari rumah ke rumah. Selain itu perang saraf juga diadakan melalui sepanduk, poster dan bendera. Namun zaman kini sudah jauh berubah.

Kempen menggunakan SMS ini telah dipermudahkan lagi dengan kadar penetrasi penggunaan telefon bimbit dalam kalangan rakyat Malaysia. Menurut statistik semasa yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pada suku keempat tahun 2007, kadar penggunaan telefon bersel dalam kalangan rakyat Malaysia telah mencecah 85 peratus. Angka ini merupakan yang tertinggi bagi tempoh 2006 hingga 2007.

Suatu perkara yang menarik ialah disebalik kepelbagaian teknologi telekomunikasi yang boleh digunakan menerusi telefon bimbit, rata-rata rakyat negara ini lebih memilih untuk menggunakan sistem SMS.

Senario ini telah menjadikan telefon bimbit seolah-olah suatu keperluan “asas” dalam kalangan rakyat Malaysia. Selain itu variasi SMS yang mungkin juga lebih mantap dan melekat di hati bakal pengundi adalah dalam bentuk khidmat mesej multimedia (MMS). Gambar atau video kempen boleh dihantar untuk memancing undi. Namun kosnya agak tinggi berbanding SMS.

Apa yang pasti, kempen menggunakan SMS mampu mengurangkan kos logistik dalam berkempen. Untuk seseorang calon pergi bergerak dari pintu ke pintu dalam kawasan pilihan raya, dalam tempoh 13 hari berkempen adalah cukup mustahil. Namun SMS boleh sampai dalam masa yang singkat ke beribu-ribu rumah. Namun usaha untuk mengumpul sebanyak mungkin nombor telefon bimbit para pengundi juga adalah sukar.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 lalu, kempen ala moden ini telah dipraktikkan oleh UMNO Bahagian Batu Sapi, Sabah. Menurut Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk Samsudin Yahya, jentera parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, telah menggunakan SMS untuk meraih undi daripada 11000 pengundinya.

Sebelumnya, PRU pada 2004 telah menyaksikan bermulanya era penggunaan SMS dalam berkempen. Statistik dari pembekal perkhidmatan telekomunikasi menunjukkan lebih 200 juta SMS dihantar sepanjang tempoh berkempen pada musim pilihanraya tersebut. Bagaimanapun, trend berkempen melalui SMS sudah terlebih dahulu dipraktikkan di pilihanraya di universiti-universiti tempatan.

Bagi para pengundi pula, SMS atau MMS yang diterima biasanya adalah melalui nombor-nombor telefon bimbit biasa. Ada juga yang menerimanya dari nombor-nombor premium lima digit. Di dalam hal ini ia biasanya dihantar melalui server data dari dalam mahupun dari luar negara.

Bagaimanapun dari sudut kontranya, SMS berbau fitnah dan mencaci parti lawan juga boleh bertebaran dengan mudahnya. Mujurlah SKMM mewajibkan pendaftaran kad sim pada Disember 2006. Ia telah banyak membantu mengesan penyebaran SMS yang berbaur ugutan dan berunsur fitnah.

Kecanggihan teknologi mudah alih terbukti satu kaedah yang ampuh dalam berkempen. Evolosi dunia mobiliti telah menjadikannya suatu alat globalisasi yang mempunyai kuasa sakti tersendiri. Siapakah yang berani menidakkan kuasa dan kepentingannya dalam mempengaruhi fikiran rakyat?

Persolannya adakah Malaysia kini mula beranjak kepada amalan politik digital zaman siber? Zaman yang menekankan kepada keakraban hubungan pemimpin dengan rakyat melalui corong telefon bimbit. Adakah kita pasrah dengan ‘kuasa’ yang ada pada genggaman SMS dalam merubah pemikiran, tingkah laku dan budaya kita pada zaman digital ini? DM

Penulis pensyarah kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

JUNAINI, S.N. 2008. Laporan Khas: Hebatnya Pengaruh SMS, Dewan Masyarakat, Vol. 46(5), Mei 2008, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 40-41. (ISSN 0419-0386)



Leave your comment