Adiwira Melayu


CICAK-MAN (kiri) merupakan watak adiwira tempatan yang berjaya meneruskan sekuelnya dalam Cicak-Man 2.

Konsep adiwira atau superhero adalah watak yang mulanya dikembangkan oleh komik. Watak ini mulanya mengambil ilham daripada kekuatan Hercules sebagai gambaran positif seorang adiwira.

Watak adiwira yang memiliki definisi sebenar dengan kekuatan yang luar biasa adalah watak Superman atau Clark Kent daripada buku komik tersebut yang terbit pada 1938.

Komik mempunyai kelebihannya yang tersendiri dalam mengemukakan konsep adiwira ini berbanding medium yang lain disebabkan komik mampu mengangkat elemen fantastik pada tahap atau peringkat realisme yang sama yang dianggap sukar diterima dalam medium lain dengan tidak dilihat membodohkan.

Umpamanya watak adiwira ini yang memakai kostum yang kelihatan ganjil tidak kelihatan aneh sebaliknya normal pada panel lukisan komik berbanding medium yang lain.

Malah kemunculan watak adiwira dengan kostumnya yang tersendiri yang berbeza dengan watak-watak yang lain sebenarnya kelihatan “melucukan” dalam medium filem atau televisyen sendiri. Di sini komik mempunyai kelebihan dalam mengangkat elemen realistik dan non-realistik secara seimbang.

Dengan kekuatan fizikal yang ada pada watak adiwira ini, maka adiwira selalunya lahir dengan matlamat yang tersendiri, umpamanya watak Superman mempunyai matlamat mempertahankan orang yang tertindas.

Pada awalnya watak-watak adiwira dalam naratif genre adiwira digambarkan sebagai adiwira dengan ideologi untuk orang-orang biasa pada era kemerosotan ekonomi.

Hero-hero ini menentang ahli politik dan kerajaan yang menekan dan korup, syarikat perniagan yang tamak dan selalunya mengutamakan kebajikan masyarakat daripada tekanan kuasa-kuasa jahat tersebut.

Bagaimanapun selepas perang dunia kedua ideologi adiwira ini mulai berubah, imej orang biasa itu telah bertukar kepada gambaran imej Amerika dalam menentang tekanan, militerisme dan penentangan daripada kuasa-kuasa jahat.

Kemudian watak-watak adiwira ini meneruskan ideologi perjuangan anti-komunisme, cuba mencegah perang atom dan juga penguasaan kapitalisme.

Dalam konteks masyarakat Melayu konsep watak adiwira sebenarnya telah wujud dalam penceritaan tradisi atau cerita penglipur lara.

Watak-watak seperti Badang, Hang Tuah malah wira-wira seperti Awang Sulung merah Muda atau Malim Deman adalah watak-watak adiwira yang mempunyai kemahiran dan kekuatan fizikal yang luar biasa.

Bukan itu sahaja watak-watak ini lahir dalam suasana yang luar biasa. Tetapi watak superhero dalam penceritaan tradisi Melayu ini berbeza dengan watak adiwira barat dari segi penampilan dan juga ideologi.

Sementara watak adiwira Melayu ini masih kekal dalam bentuk yang tradisinya dalam hikayat-hikayat, tetapi watak adiwira Barat yang lahir kemudian dalam bentuk komik telah meneruskan “kehidupannya” dalam medium yang lain seperti filem.

Sebenarnya perkembangan teknologi perfileman telah membantu kepada kebangkitan semula watak-watak adiwira ini bermula dengan Superman dan kemudian diikuti oleh Batman.

2 Responses


  1. the noise thereafter on January 6, 2009 at 5:42 PM

    Thanks Tn Haji.

  2. the noise thereafter on January 6, 2009 at 5:43 PM

    Thanks Tn Haji.


Leave your comment