Takkan Melayu Hilang di Dunia Siber


Dewan Budaya, Oktober 2008

OLEH SYAHRUL NIZAM JUNAINI

Semenjak kebelakangan ini, pelbagai usaha terus menerus dilakukan bagi mempromosikan budaya Melayu. Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia sebagai contoh, merupakan sayap utama kerajaan dalam mempromosikan budaya Melayu di persada antarabangsa.

Dalam pada itu, kewujudan Internet dan teknologi sesawang (web) harus digarap sebaik mungkin sebagai wadah baru promosi budaya Melayu. Hal ini kerana Internet mempunyai capaian yang sangat luas. Ia mencakup timur dan barat.

Statisktik terkini pada Mac 2008 yang dikeluarkan oleh Internet World Statistics (http://www.internetworldstats.com/) melaporkan bahawa terdapat lebih kurang 1.4 bilion pengguna Internet di seluruh dunia. Bayangkan jika sebanyak ini pengunjung Internet dapat diperkenalkan dengan budaya Melayu.

Artikel ini melaporkan satu kajian ringkas berkaitan usaha menjejaki maklumat berkaitan budaya melayu di Internet. Kaedah utama carian adalah dengan menggunakan enjin carian (search engine). Ia digunakan bagi menyelusuri laman-laman sesawang (web) yang memaparkan maklumat tentang budaya-budaya Melayu. Kata kunci carian yang digunakan ialah frasa “Budaya Melayu”.

* Untuk bacaan lanjut, dapatkan Dewan Budaya, Oktober 2008, ms. 12-15.

One Response


  1. syahrulnizam on May 27, 2009 at 7:26 AM

    Menurut artikel “Takkan Melayu Hilang di dunia Siber” yang ditulis oleh Syahrul Nizam Junaini, menceritakan perkembangan budaya Melayu dalam dunia siber yang semakin pesat membangun seiring dengan era globalisasi. Kewujudan dunia siber atau lebih dikenali dengan internet dan teknologi sesawang (web) membantu dalam mempromosikan budaya Melayu sama ada dalam mahupun luar negara. Hal ini kerana internet yang mempunyai capaian yang meluas dan tanpa sempadan membolehkan pelbagai maklumat disebarkan secara meluas. Malah maklumat tersebut juga boleh diakses dan diperoleh secara mudah dengan hanya melayari internet sahaja.

    Oleh itu, perkembangan dunia internet ini dapat membantu penyebaran maklumat mengenai budaya Melayu dari pelbagai aspek. Malah semakin banyak laman web mengenai budaya Melayu boleh dilayari melalui internet seperti “Melayu Online” (melayuonline.com), “Sirih Pinang” (www.pnm.my/sirihpinang) dan laman rasmi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan warisan Malaysia (www.heritage.gov.my). Laman-laman web tersebut boleh memberikan banyak maklumat mengenai budaya Melayu dari pelbagai aspek sama ada berkaitan Melayu sahaja atau perkaitannya dengan budaya yang lain.

    Selain itu, artikel tersebut juga menerangkan sesetengah laman web yang kurang mengetengahkan budaya Melayu secara meluas iaitu terdapat laman yang tidak mendedahkan budaya Melayu secara meluas. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi laman web yang boleh dilayari bagi mendapatkan pelbagai maklumat mengenai budaya Melayu seperti adat istiadat pertunangan, makanan dan cara hidup yang memaparkan kemelayuan. Malah, terdapat juga klip video yang menayangkan beberapa majlis orang Melayu seperti majlis pertunangan, kenduri dan sebagainya.

    Menurut artikel itu juga, dunia siber dapat membantu mempromosi budaya Melayu ke peringkat antarabangsa. Hal ini dapat mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai budaya Melayu kepada orang ramai yang melayari internet. Malah, hal ini juga lebih mudah kerana bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai budaya Melayu tidak perlu bersusah-payah untuk mencari dan membeli buku. Mereka hanya perlu mencari melalui komputer atau laptop yang mempunyai kemudahan internet dan menaip kata kunci carian yang diperlukan. Hal ini dapat menjimatkan masa, tenaga dan kewangan seseorang.

    Biasanya, maklumat mengenai budaya Melayu yang ingin dicari adalah meliputi aspek idea, kebendaan, kesenian dan norma atau nilai budaya. Aspek-aspek tersebut pula meliputi pelbagai aspek yang lebih khusus dan spesifik. Kesemuanya boleh diperolehi dengan hanya melayari internet sahaja.

    Turut dinyatakan dalam internet tersebut ialah jumlah pengunjung internet yang melebihi tiga juta pengunjung semenjak Januari 2007 bagi laman web “Melayu Online”. Pelbagai maklumat mengenai budaya Melayu boleh diperolehi melalui laman tersebut. Walau bagaimanapun, laman tersebut bukan dihasilkan oleh warga Malaysia, tetapi merupakan inisiatif Balai kajian dan Pengembangan Budaya Melayu di Yogyakarta, Indonesia. Hal ini harus diberi perhatian agar warga Malaysia khususnya orang Melayu sendiri bagi menghasilkan lebih banyak laman web yang mendedahkan maklumat tentang budaya Melayu.

    Selain itu, artikel ini turut menyatakan mengenai usaha Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk memperkasakan maklumat berkaitan budaya Melayu yang harus menerima pujian. Malah, laman web “Sirih Pinang” juga mendedahkan maklumat mengenai budaya Melayu, tetapi hanya memfokuskan pada satu cabang kecil sahaja seperti tradisi makan sirih iaitu warisan budaya silam orang Melayu yang semakin kurang popular dalam kalangan generasi baru. Hal ini perlu dititikberatkan agar budaya Melayu seperti tradisi tersebut tidak terus hilang ditelan zaman.

    http://pangsapuriperdana4-2-16.blogspot.com/2009/05/takkan-melayu-hilang-di-dunia.html


Leave your comment