Simulasi Forensik Kemalangan


Dewan Masyarakat, November 2007


OLEH SYAHRUL NIZAM JUNAINI

JIKA anda pernah menonton rancangan popular Crime Scene Investigation (CSI), anda pasti melihat betapa sukarnya detektif dan pakar forensik mengkaji punca kemalangan yang mungkin berkaitan dengan jenayah. Sebenarnya, imulasi komputer berperanan memudahkan tugas mereka mencari punca sebenar setiap kemalangan.
Masalah yang menyelubungi pihak polis dan forensik tidak dapat diselesaikan hanya dengan menganalisis keputusan autopsi. Pakar forensik yang mengkaji kawasan kejadian kemalangan ngeri mengalami pelbagai kesukaran dalam mendapatkan sebanyak mungkin bahan bukti. Dalam hal ini simulasi komputer mampu menyediakan data penting tentang muatan penumpang dan pergerakan kenderaan beberapa saat sebelum kemalangan.
Secara umum, analisis “pembangunan semula” senario kemalangan merupakan tugas yang rumit. Hal ini demikian kerana pelbagai faktor perlu diambil kira seperti kesan dinamik pemanduan, kawalan kenderaan dan konfigurasi permukaan jalan.
Sistem simulasi komputer memudahkan proses mendapatkan bayangan punca sebenar kemalangan melalui tiga fasa utama iaitu sebelum hentaman, semasa hentaman serta sejurus selepas kemalangan berlaku.
Satu simulasi perlanggaran pernah dihasilkan pada 2003 oleh tiga orang penyelidik dari University of Ljubljana, Slovenia untuk mengkaji punca kemalangan. Mereka terdiri daripada tiga orang pakar jurusan yang berbeza iaitu Perubatan Forensik, Kejuruteraan Mekanikal, serta Kejuruteraan Awam dan Geodetik.
Kemalangan tersebut mengorbankan sembilan orang penumpang kereta Audi A6 dengan sebuah van VW Caravelle. Keputusan simulasi mendapati bahawa keletihan pemandu, kekurangan penggunaan alat keselamatan, dan muatan penumpang melebihi had merupakan punca kemalangan. Hasil kajian ini membantu pihak forensik mengetahui punca sebenar kes.
Teknologi terkini simulasi kemalangan juga dihasilkan melalui model matematik kompleks menggunakan perisian khas seperti Computer Aided Reconstruction of Accidents in Traffic (CARAT), PC Crash dan sebagainya. Perisian ini mampu menganalisis respons dinamik penumpang sebagai antara pembayang punca berlakunya kemalangan.
Terdapat juga pakej perisian untuk menganalisis pergerakan penumpang dalam ruang tiga dimensi (3D).
Contoh aplikasi ini seperti MADYMO, PAM-SAFE dan RAMSIS. Data daripada analisis perisian tersebut banyak membantu pakar forensik mendapatkan keterangan tentang Kriteria Kecederaan Kepala (HIC), Index Trauma Torasik (TTI), Index Keparahan (SI), dan Kiraan Kebarangkalian Kematian (PDS).
Ciri-ciri penting perisian simulasi kemalangan termasuklah keupayaan menepati konfigurasi sebenar kawasan kemalangan seperti bentuk permukaan jalan, kadar kecerahan, dan keadaan cuaca. Faktor ini penting kerana berkemungkinan menjadi penyebab berlakunya kemalangan.
Proses forensik banyak bergantung pada ketepatan data. Semua objek hendaklah mematuhi hukum fizik dan tidak berbeza daripada fakta yang diberikan oleh pakar forensik dan saksi kejadian. Rutin yang terlibat termasuklah mengambil kenyataan saksi, merakam video kesan kemalangan, dan menganalisis laporan perubatan. Sebelum itu, pakar forensik turut terlibat mengukur kedudukan kenderaan selepas hentaman berlaku. Sejurus setelah kemalangan dijadikan sebagai kes, pakar forensik dan juru animasi mula membuat kajian bagi mendapatkan data yang selengkap mungkin.
Melalui gambar yang diambil, mereka melakar dan menterjemahkan satu persatu keterangan ke bentuk simulasi. Jika satu model spesifik kenderaan diperlukan, mereka membinanya dengan penuh teliti. Cebisan pembayang ini digabungkan bersama-sama bagi membentuk gambaran menyeluruh tentang situasi sebenarnya.
Dengan fakta asas yang mencukupi, tugas jurusimulasi dalam “membina semula” sesuatu kemalangan menjadi mudah. Simulasi pergerakan kenderaan perlu tepat sebagaimana dilaporkan. Dengan kerjasama rapat pakar forensik, simulasi ini ditentukan ketepatannya dan disahkan sebagai bahan bukti di mahkamah.
Darjah ketepatan maklumat turut menentukan kos simulasi yang dihasilkan. Lebih tinggi kadar ketepatan yang perlu diambil kira, lebih banyaklah masa diambil bagi penyediaan simulasi tersebut. Kos penghasilan simulasi juga turut meningkat hingga mencecah puluhan ribu ringgit. Model generik sebagi objek yang sedia ada dalam sistem perisian seperti model tiang lampu dan pokok boleh digunakan semula. Namun, penggunaannya secara berulang kali boleh menjejaskan ketepatan simulasi kerana tidak semestinya ciri objek tersebut sentiasa malar. Jika tiada pilihan lain, model khas objek tertentu terpaksa direka terlebih dahulu.
Dalam menghasilkan simulasi, ciri-ciri berkaitan pemanduan kenderaan sangat penting untuk diketahui. Ciri yang dimaksudkan seperti sifat geometri, jisim dan ketahanan kenderaan. Selain itu faktor lain yang terlibat termasuklah ciri momentum dan sistem brek kenderaan. Sesetengah data kenderaan boleh diketahui melalui pengeluar kenderaan tersebut. Simulasi dinamik pemanduan kenderaan dan pertembungan yang terlibat boleh dijanakan oleh perisian seperti CARAT.
Dalam kes tersebut, perisian simulasi berjaya memberikan data halaju iaitu 110km sejam bagi van sementara 65 km sejam bagi kereta. Halaju kenderaan sebelum perlanggaran pula ditentukan dengan mensimulasikan tenaga kenderaan semasa sedang berputar dan berpindah kedudukan. Animasi forensik merupakan bidang baharu yang menggabungkan dua bidang ilmu yang berbeza iatu forensik dan pengkomputeran. DM.
Penulis pensyarah kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Menulis Rujukan:
JUNAINI, S.N. 2007. Teknologi: Simulasi Forensik Kemalangan. Dewan Masyarakat, Vol.45 (11), November 2007, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

One Response


  1. Unknown on February 13, 2009 at 9:46 AM

    great
    sgt membantu topik ini


Leave your comment