Misi Merapatkan Jurang Digital


OLEH SYAHRUL NIZAM JUNAINI



LEDAKAN teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada lewat tahun 80an telah mencetuskan sinar baru dalam tamadun manusia. Begitu juga dengan teknologi Internet yang menyuluh kehidupan manusia hingga tercetusnya revolusi maklumat global berskala besar.

Bagaimanapun, statistik terkini yang dikeluarkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) menyatakan bahawa masih terdapat sekitar 800000 komuniti atau kampung (bersamaan dengan 1 bilion penduduk dunia) yang langsung didalam kegelapan. Sehingga hari ini mereka tidak dihubungkan dengan apa-apa kaedah ICT. Inilah yang dipanggil jurang digital.

Nonetheless, there remains a crucial gap. ITU estimates that some 800’000 villages – representing around one billion people worldwide – still lack connection to any kind of information and communication technology.


Jurang digital meliputi aspek capaian maklumat yang dimiliki oleh dua golongan iaitu yang kaya maklumat dan sebaliknya. Antara isu utama berkaitan dengan jurang digital ialah capaian Internet.

Kumpulan yang mudah mendapat capaian akan kaya dengan maklumat. Berjuta-juta laman web menawarkan pelbagai maklumat dalam pelbagai bidang pengetahuan. Dalam era berasaskan pengetahun, kemajuan sosio-ekonomi disandarkan kepada kebolehan individu memanipulasikan maklumat.

Pasaran kerja meletakkan nilai bayaran berlipat kali ganda kepada pekerja yang berpengetahuan (k-workers). Kebanyakan pemerintah di dunia juga berusaha mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan (k-society). Oleh sebab itu, penulis futuristik Amerika Syarikat, yang terkenal, Alvin Toffler, dalam bukunya PowerShift (1990), menyatakan bahawa dengan pengetahuan, sesebuah masyarakat memperoleh kuasa.

Persoalannya, selagi kemudahan TMK tidak diwujudkan dalam kalangan penduduk di desa, mampukah mereka bergerak dalam lebuhraya digital seiring dengan masyarakat di bandar? Jurang digital di antara penduduk bandar dan desa seharusnya tidak wujud. Berikutan itu, keringat semua pihak harus dikerah dalam rangka mengurangkan jurang digital. Pada alaf baru ini, peranan TMK bukanlah untuk golongan elit sahaja tetapi lebih merupakan keperluan bagi semua individu.

Isu jurang digital ini jika tidak ditangani dengan serius boleh menyebabkan wabak jahil pengetahuan melarat menjadi “kudis buta”. Jika separuh daripada masyarakat di negara kita menghuni kawasan luar bandar, hal ini bermakna lebih daripada 13 juta orang penduduk negara ini akan terhalang daripada menikmati manfaat TMK.



Di peringkat antarabangsa, cabaran merapatkan jurang digital sebenarnya sudah lama menjadi agenda. Perhatian serius Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah dicerminkan melalui persidangan seperti World Summit For Information Society. Perkembangan semasa menunjukkan bahawa jurang maklumat antara negara maju (seperti G8) dengan negara membangun serta mundur, begitu ketara. Hal ini mewujudkan bentuk kemiskinan yang baharu–miskin maklumat.

Sehubungan dengan hal itu, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) mencanangkan supaya diwujudkan rangka kerja kebangsaan yang komprehesif bagi mengurangkan jurang digital. Kajian daripada projek ini turut digunakan digunakan oleh kerajaan Malaysia sebagai input kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan agensi berkaitan untuk merangka usaha bagi menghapuskan jurang digital di negara ini.

Malaysia memahami hakikat bahawa dominasi sektor multimedia merupakan suatu kuasa bagi sesebuah negara maju. Perkara ini tersurat dalam Wawasan 2020. Visi ini menuntut agar ekonomi digerakkan oleh kuasa pemikiran dan kemahiran masyarakatnya. Di Malaysia, peranan kerajaan dalam mengurangkan ruang digital ini diatasi dengan pelbagai usaha. Pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan terus berusaha untuk mengurangkan jurang digital ini.

Rakyat negara ini harus berbanggga kerana mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mempunyai visi yang cukup mantap. Beliau memandang bahawa prasyarat untuk menjadi sebuah negara maju adalah dengan mewujudkan masyarakat saintifik.
Namun, masalah jurang digital merupakan kekangan utama ke arah menggapai wawasan tersebut. Bagi penduduk luar bandar mereka hendaklah diusahakan supaya sekurang-kurangnya menjadi pengguna asas TMK. Jika mereka jahil TMK, bermakna mereka tenggelam lemas dalam arus perdana kemajuan dunia.

Kempen kerajaan untuk memastikan agar setiap rumah di negara ini mempunyai sebuah komputer peribadi (PC) menjadi nadi kepada usaha mengurangkan jurang digital. Harga PC diusahakan supaya kurang daripada RM2000. Apabila setiap rumah dilengkapi dengan sebuah PC barulah semua pihak boleh berbicara tentang talian Internet dan capaian kepada web.
Usaha semua pihak termasuk penggubal dasar, badan kerajaan atau bukan kerajaan (NGO) sangat ditagih. Cita-cita untuk mendemokrasi TMK dalam kalangan penduduk luar bandar dan pedalaman seharusnya disokong. Komitmen kewangan daripada pihak swasta mampu mambajai usaha merapatkan jurang digital. DM

Penulis pensyarah kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Membuat Rujukan:

JUNAINI, S.N. 2007. Teknologi: Misi Merapatkan Jurang Digital. Dewan Masyarakat, Vol.45 (8), Ogos 2007, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 56-57. (ISSN 0419-0386)

Pautan:
http://www.dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=1274&IID=
http://www.dawama.com/index.php?ch=8&pg=379&ac=473&tpt_id=11



Leave your comment