Gaya Hidup Wireless@KL


Dewan Masyarakat, Februari 2008, m.s. 46-47.
Teknologi jalur lebar tanpa wayar dilihat sebagai pemacu utama perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Capaian ke Internet boleh dibuat bila-bila masa, di mana sahaja, tujuh hari seminggu. Diangggarkan pada 2002 terdapat antara 15 hingga 18 juta Rangkaian Kawasan Setempat Tanpa Wayar (WLAN) di seluruh dunia. Walaupun pada awalnya stesen tapak WLAN berharga sekitar US$1000 (RM3500) pada 1999, namun kini harganya merudum berlipat-lipat kali ganda.

Kesan daripada penurunan harga perkakasan rangkaian, maka hotspot (tempat capaian) percuma muncul umpama cendawan selepas hujan. Sebagai contoh di Korea Selatan, Singapura dan Jepun, premis perniagaan berlumba-lumba memasang hotspot tanpa wayar bagi menarik pelanggan. Kini di lapangan terbang, kompleks membeli-belah, hotel dan pejabat—hampir di mana-mana sahaja, wujud hotspot.

Dalam hal yang demikian, inisiatif unutk mewujudkan sesebuah bandar sebagai bandar raya tanpa wayar sudah lama wujud di luar negara. Sebagai contoh Bandar Raya Alberta di Canada memulakan usaha ini sejak 2003. Bandar Raya New York pula memulakan usaha ini dua tahun lebih awal (2001). Dari Manhattan ke Brooklyn, puluhan hingga ratusan hotspot disediakan percuma. Sementara itu Bandar Raya Beijing, tuan rumah Sukan Olimpik 2008 sedang giat menyediakan sembilan ribu kemudahan WLAN sebelum bermulanya temasya sukan terbesar di dunia itu pada Ogos nanti. Dijangka sehingga 90 peratus dari keseluruhan tempat acara berlangsung akan menikmati kemudahan ini.

Di Malaysia mulai pertengahan 2008, Kuala Lumpur (KL) bakal menjadi bandar raya tanpa wayar pertama seterusnya di dunia. Projek wireless@KL ini menyediakan 3500 zon Wi-Fi (Wireless Fidelity) bagi kemudahan warga kota selain pelancong. Perjanjian persefahaman telah dimeterai antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Packet One Networks Sendirian Berhad Disember tahun yang lalu.

Untuk tujuan itu, sejumlah RM 60juta diperuntukkan bagi menjana fasa pertama projek tersebut sehingga kemuncak usaha menjadikan KL bandar raya tanpa wayar sepenuhnya pada 2010. Namun perkara yang lebih membanggakan ialah Malaysia muncul negara pertama mengaplikasi infrastruktur tanpa wayar berkelajuan tinggi WiMAX 2.3 GHertz. Tidak lama lagi teknologi ini menjadi lebih mudah diakses. Hal ini demikian kerana pada 2009, komputer riba dan Pembantu Peribadi Digital (PDA) akan dilengkapi sepenuhnya cip WiMAX.

Selain KL, Ipoh juga berhasrat menjadi bandar raya tanpa wayar pada 2010. Semua tempat awam utama akan dilengkapi kemudahan hotspot bagi orang ramai mengakses Internet di mana-mana sahaja tanpa kabel. Kerajaan negeri dilaporkan memperuntukkan sehingga RM1.3 bilion bagi keseluruhan usaha memajukan TMK di Ipoh. Statistik semasa mencatat sehingga 70 peratus kawasan di Bandar Raya Ipoh dibekalkan dengan kemudahan tanpa wayar dengan teknologi Hotzone Metro-WiFi.

Ekoran permintaan perkhidmatan jalur lebar yang semakin hebat di selatan tanah air, Bandar Raya Johor Bahru juga mempunyai wawasan yang sama. Perkara ini kerana teknologi tanpa wayar adalah infrastuktur utama bagi menjana projek pembangunan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Tidak lama lagi Bandar Nusajaya di WPI akan gah dengan infrastruktur seperti bangunan baharu dan infrastruktur TMK kelas pertama yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Kerajaan negeri Melaka juga tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan ini. Projek E-melaka yang bermula pada tahun 2003 menandakan hubungan strategik berteraskan teknologi antara kerajaan negeri dengan pembekal penyelesaian rangkaian komputer. Syarikat tersebut ialah syarikat gergasi rangkaian, Cisco Systems dan syarikat tempatan Paneagle Holdings Berhad. Usaha penyediaan rangkaian jalur lebar ke seluruh negeri turut melibatkan penyediaan teknologi tanpa wayar yang merangkumi Ayer Keroh sehingga ke Bandar Raya Melaka selain lokasi lain.

Teknologi yang digunakan adalah berasaskan produk WLAN 802.11b keluaran Cisco. Pada dasarnya asas kepada teknologi tanpa wayar ialah infrastruktur jalur lebar.

Menurut Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK), pada 2006, sejumlah 1.3 juta pengguna telah melanggan perkhidmatan jalur lebar. Statistik ini termasuk 140 ribu pengguna hotspot tanpa wayar. Sejumlah 4.3 juta diunjurkan turut mengguna perkhidmatan ini menjelang 2010.

Indikator utama di bawah Pelan Jalur Lebar Negara (NBP) ialah 75% daripada kadar isi rumah menikmati perkhidmatan jalur lebar pada tahun tersebut. Kadar penetrasi penggunaan jalur lebar pula dijangka pada sekitar 15 peratus. NBP yang diluluskan Kabinet pada 2004 bermatlamat mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Projek “mega” ini dijangka akan membawa pulangan pelaburan yang menguntungkan. Para pelancong asing tidak lagi mengomel kerana terpaksa membayar yuran capaian yang mahal jika ingin menggunakan Internet di hotel penginapan mereka. Hal ini juga dijangka memacu pertumbuhan ekonomi kerana transaksi perniagaan atas talian boleh dibuat bila-bila masa, dan dari mana -mana sahaja.

Kesan dari segi perkembangan pengetahuan turut dilihat menjadi mangkin pembangunan modal insan melalui pembelajaran atas talian yang lebih mudah dan cepat.

Namun persoalan di sini ialah selagi jurang digital antara bandar dengan luar bandar tidak dirapatkan, tiada gunanya kita bermegah. Apalah gunanya jika sebahagian masyarakat masih gagal menikmati kemudahan telekomunikasi tanpa wayar sedangkan bandar demi bandar muncul sebagai bandar raya tanpa wayar.

Pengguna tidak lama lagi boleh membayar bil utiliti melalui Internet sambil menghirup segelas teh tarik di warung berkanopi sekitar Jalan Masjid India.
Yang pasti senario penggunaan TMK di Kuala Lumpur tidak lama lagi pasti berbeza. Anda boleh membaca e-mel melalui PDA sambil berjoging pada hujung minggu di Tasik Titiwangsa. Lupakan susah payah membeli akses atau kad prabayar sebelum mengakses Internet. Mereka yang mempunyai bajet yang ketat tidak perlu lagi ke Starbucks, San Francisco Coffee atau The Coffee Bean & Tea Leaf semata-mata untuk akses Internet percuma sebagai pelangganya. Pengguna tidak lama lagi boleh membayar bil utiliti melalui Internet sambil menghirup segelas teh tarik di warung berkanopi sekitar Jalan Masjid India. DM


Penulis pensyarah kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).


Membuat Rujukan:
JUNAINI, S.N. 2008. Teknologi: Gaya Hidup Wireless@KL. Dewan Masyarakat, Vol.46 (2), Februari 2008, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 46-47. (ISSN 0419-0386)



Leave your comment